Penswastaan mula mendapat perhatian yang wajar di Malaysia mulai pertengahan tahun 1983 apabila Y.A.B. Perdana Menteri melancarkan Dasar Persyarikatan Malaysia yang juga telah menyentuh peranan pihak swasta dalam pembangunan dan pengurusan negara.
Sektor Awam bukan sahaja terlibat dalam menyediakan dasar utama dan menentukan arah dan penyediaan perkhidmatan tetapi telah juga terlibat secara aktif dalam aktiviti ekonomi dan perdagangan di Malaysia. Saiz sektor awam telah berkembang dengan begitu pesat sekali dalam 10 tahun yang lalu. Perbelanjaan sektor awam telah meningkat dengan begitu besar sekali dari 28% pada tahun 1975 kepada 36% pada tahun 1982 dan ini merupakan satu beban kewangan yang besar untuk ditanggung oleh Kerajaan. Keadaan ekonomi meleset juga menjadi faktor-faktor utama yang membawa kepada Dasar Pengswastaan ini diperkenalkan.
Objektif
Di samping itu, Kerajaan juga terpaksa menyelenggarakan perkhidmatan dan pelaburan-pelaburan tertentu. Jumlah emolumen merupakan satu item yang terbesar iaitu lebih satu pertiga daripada keseluruhan perbelanjaan mengurus. Perbelanjaan dalam bentuk pindahan juga telah meningkat dengan pesatnya sejak akhir-akhir ini dan sekarang telah menjadi hampir setengah daripada perbelanjaan mengurus.
Beberapa isu penting perlu diselidiki, dikaji dalam menimbangkan cadangan-cadangan pengswastaan sesuatu perkhidmatan itu. Kabinet telah mengarahkan satu Jawantankuasa ditubuhkan di Unit Perancang Ekonomi (EPU) dengan dianggotai oleh Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU), Kementerian Kewangan dan Jabatan Awam (PSD) dengan dipengurusikan oleh Unit Perancang Ekonomi bagi menyediakan satu garis panduan yang lengkap untuk memudahkan Kementerian/Jabatan mengswastakan beberapa perkhidmatan di bawah Kementerian/Jabatan masing-masing. Antara isu-isu yang perlu di pertimbangkan ialah:
(a) Pemecahan sesuatu khidmat (fragmentation);
(b) Soal keselamatan;
(c) Perundingan;
(d) Implikasi kewangan;
(e) Penentuan harga;
(f) Implikasi kepada kakitangan;
(g) Pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru;
Berdasarkan kepada angka perbelanjaan dan peruntukan-peruntukan pembangunan awam, sektor swasta pula mengkaji keupayaan mereka dalam mengurus dan mengambilalih harta-harta yang akan diswastakan. Pengawasan dan penilaian yang rapi terhadap perkhidmatan-perkhidmatan yang diswastakan juga merupakan sebahagian dari program pengswastaan. Tingkat kecekapan daya pengeluaran, daya persaingan yang sihat serta tingkat harga yang dikenakan terhadap perkhidmatan-perkhidmatan berkenaan perlu diawasi untuk menilai kos dan faedah dari perkhidmatan yang diswastakan.
Penutup
Kebimbangan-kebimbangan terhadap Dasar Pengswastaan timbul kerana akan berlakunya beberapa pemindahan hakmilik 'national monopoly' yang sepatutnya dikendalikan oleh sektor awam kepada syarikat swasta. Pemindahan itu dikuatiri boleh menyebabkan kenaikan kos, harga dan agihan pendapatan yang tidak serata disebabkan oleh pemonopolian tersebut.
Walaubagaimanapun, jika dasar ini dikaji secara mendalam dan dipraktikkan secara sempurna selepas mengambil kira kemungkinan penyalahangunaan kuasa monopoli di atas, ianya akan dapat menyediakan satu perkhidmatan yang lebih cekap, cepat dan murah pada pengguna penggunanya, yang mana secara tidak langsung akan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara.
Latar Belakang
| Negara mengalami transisi demografi yang membawa kepada peningkatan bilangan penduduk muda |
Matlamat kependudukan 70 juta telah disarankan oleh Y.A.B. Perdana Menteri Seri Dr. Mahathir Mohammad ketika beliau berucap di Perhimpunan Agung UMNO dalam bulan September 1982. Beliau berpendapat bahawa Malaysia akan lebih berjaya dengan penduduk sebanyak 70 juta. Saranan ini kemudiannya telah dijelaskan dan dikemukakan sekali lagi oleh beliau dalam ucapannya semasa membentangkan kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Keempat pada 29hb. Mac 1984. Matlamat kependudukan ini diharapkan dicapai dalam tempoh 115 hingga 120 tahun.
Rasional
Jumlah penduduk Malaysia adalah masih kecil dan ada faedah-faedah besar jika kependudukan Malaysia dibesarkan dalam jangka perancangan di atas. Jika dibandingkan dengan negara-negara lain, Malaysia dengan kawasan yang seluas 334,000 km persegi mempunyai penduduk sebanyak 45 juta, Negeri Thai dengan kawasan seluas 514,000 km persegi mempunyai penduduk sebanyak 50 juta dan Republik Indonesia dengan kawasan tanah 2,027,087 km persegi mempunyai sebanyak 150 juta.
Rasional untuk mencapai matlamat kependudukan 70 juta adalah untuk menyediakan satu asas permintaan dan pasaran bagi keluaran industri industri tempatan. Ini akan mengujudkan keadaan persaingan dalam pasaran dan selanjutnya akan meninggikan daya dan mutu pengeluaran untuk eksport. Pertumbuhan adalah dianggap sebagai modal yang utama untuk kemajuan ekonomi dan sosial sesebuah negara, disamping itu ianya juga dapat meningkatkan daya pengeluaran ekonomi. Dengan yang demikian, adalah wajar angkubah-angkubah demografik ini diambil kira di dalam perancangan pembangunan untuk mempastikan kemajuan ekonomi dan pertumbuhan kebajikan yang berterusan.
Malaysia masakini mengalami kadar pertumbuhan kependudukan sebanyak 2.5%* bagi jangkamasa 1981-1985. Mengikut kadar ini, jumlah penduduk dianggarkan menjadi 15.279 juta dalam tahun 1984, iaitu pertambahan sebanyak 11.2% daripada jumlah 13.745 juta pada tahun 1980. Kadar pertumbuhan bagi jangkamasa-jangkamasa tertentu adalah seperti yang berikut:-
Jangkamasa Kadar Pertumbuhan
1957 - 1960 2 .8%
1960 - 1870 2 .6%
1970 - 1980 2 .3%
1980 - 1985 2 .5%
Perbandingan antara jangkamasa di atas menunjukkan bahawa kadar pertumbuhan sekarang ini adalah lebih tinggi sedikit dari kadar pertumbuhan bagi 1970-1980. Ini adalah disebabkan oleh kadar kesuburan yang lebih tinggi dalam tahun lima puluhan dan enam puluhan dan bertambahnya jumlah wanita-wanita muda yang mencapai umur perkahwinan. Walaubagaimana pun berdasarkan kepada arah aliran pertumbuhan penduduk sekarang, adalah dijangkakan bahawa kependudukan Malaysia akan mencapai jumlah kesetabilan dalam linkungan 39 juta orang dalam tahun 2150.
Menurut Laporan Pembangunan Dunia (World Development Report) yang diterbitkan oleh Bank Dunia dalam bulan Julai 1983, penduduk Malaysia akan dijangka menjadi 33 juta dalam tahun 2120. Unjuran-unjuran ini dibuat berdasarkan kepada kadar pertumbuhan kependudukan sebanyak 2.0% setahun (1980-2000) atas andaian kadar kesuburan yang berkurangan secara sederhana. Laporan ini selanjutnya menunjukkan penduduk Malaysia akan bertambah menjadi 17 juta dalam tahun 1990 dan mencapai jumlah 21 juta dalam tahun 2000. Unjuran-unjuran Bank Dunia ini tidaklah selari dengan matlamat penduduk 70 juta sekarang yang dijangka dicapai dalam tahun 2100. Ini bermakna bahawa dua komponen utama mengenai kependudukan iaitu kadar kesuburan dan kadar kasar kelahiran perlu dipertingkatkan dengan sewajarnya.
Perlu dijelaskan bahawa kajian kependudukan memerlukan pengetahuan mengenai arahaliran perkembangan masa lepas dan masa kini. Ketetapan unjuran besar bergantong kepada kefahaman yang mendalam terhadap fakta-fakta dinamik kependudukan pada pada keseluruhannya, terutama mengenai pola-pola kesuburan, kematian dan kekeluargaan.
_______________________________________________________________________
* Laporan Ekonomi 1984/85 Kementerian Kewangan Malaysia
Objektif
Objektif dasar ini adalah untuk mengujudkan jumlah penduduk Malaysia seramai 70 juta.
Strategi Pelaksanaan
Untuk mencapai matlamat dasar kependudukan 70 juta, beberapa alternatif telah dikaji. Antaranya adalah seperti yang berikut:-
i. Sekiranya JKK* (jumlah kadar kesuburan) sekarang iaitu sebanyak 4 dibiarkan turun perlahan-perlahan sebanyak 0.1 mata setiap 5 tahun sehingga ia sampai ke paras penggantian, matlamat ini akan dicapai dalam lingkungan tahun 2100 (iaitu dalam tempuh 115 tahun) dan penduduk akan stabil pada atau dalam lingkungan 73 juta.
ii. Sekiranya JKK sekarang iaitu sebanyak 4 dapat dikekalkan,matlamat ini akan dicapai dalam lingkungan tahun 2045 (iaitu 70 tahun).
iii. Sekiranya JKK sekarang diturunkan kepada 3 dan seterusnya dikekalkan kepada paras tersebut, matlamat ini akan dicapai dalam lingkungan 2085 (iaitu dalam 100 tahun).
iv. Sekiranya JKK dinaikkan kepada 5 dan terus dikekalkan pada paras ini, maka matlamat penduduk akan dicapai dalam dalam lingkungan tahun 2031 (dalam 50 tahun).
v. Tempoh yang paling cepat sekali matlamat ini akan dicapai ialah dalam tahun 2010, (atau dalam 30 tahun) jika sekiranya JKK ditingkatkan kepada 10 dan seterusnya dikekalkan pada paras sekarang.
vi. Sekiranya JKK dibiarkan meningkat kepada 5.2 dalam tahun 2000 dari 4.0 (1980) dan kemudiannya dibiarkan menurun ke paras penggantian maka matlamat ini akan dicapai dalam lingkungan tahun 2070 dan akan stabil pada 79 juta.
vii. Tempoh masa yang paling lama untuk mencapai 70 juta ialah dengan membiarkan aliran sekarang menurun dan meningkat secara pusingan sehingga mencapai paras penggantian. Matlamat ini akan dicapai dalam lingkungan tahun 2125 iaitu dalam 135-140 tahun dan penduduk akan stabil pada 73 juta.
Salah satu daripada masalah utama, dalam membuat unjuran berasaskan kepada andaian JKK yang malar ialah, sungguhpun jumlah penduduk secara teorinya boleh mencapai 70 juta, pertumbuhan kependudukan tidak akan berhenti pada jumlah tersebut tetapi akan terus bertambah. Jadi langkah langkah yang wajar dan perlu diberi pertimbangan adalah alternatif yang pertama iaitu memperlambatkan JKK sekarang supaya penggantian penduduk di paras kesuburan boleh dilewatkan selama kira-kira 40 tahun daripada tahun 2030 kepada tahun 2070. Dengan cara ini, saiz kependudukan yang muktamat bagi Malaysia dijangka akan mencapai jumlah kira-kira 73 juta dalam tahun 2150, di mana 70 juta kependudukan akan tercapai dalam lingkungan tahun 2100.
Alternatif ini juga akan mempastikan kadar pertumbuhan kependudukan tahunan adalah rendah daripada kadar pertumbuhan keluaran negara supaya usaha-usaha pembangunan tidak terjejas oleh pertumbuhan kependudukan.
Jangkamasa untuk mencapai matlamat ini adalah mencukupi untuk memberi masa kepada pembangunan sosial dan ekonomi dari segi kepadatan penduduk, taburan penduduk, sumber keluaran dan alam melebihi 70 juta. Jumlah 70 juta ini dianggap optima selepas mengambilkira faktor-faktor dinamik kependudukan berasaskan saiz tanah dan sumber-sumber yang ada.
_______________________________________________________________________
* JKK (Jumlah kadar kesuburan) ialah salah satu daripada ukuran ke atas status kesuburan bagi satu-satu kumpulan, komuniti atau negara (purata bilangan anak bagi setiap wanita dalam lingkungan umur subur (15-49).
Pelaksanaan
Di sebalik tanggapan-tanggapan rumit mengenai isu kependudukan ini, Kerajaan mempunyai sebab-sebab yang munasabah berhubung dengan pembesaran saiz kependudukan terutama dalam usaha mewujudkan penduduk yang rajin, berdisiplin dan produktif. Ini adalah asas penting bagi perkembangan perindustrian dan pengujudan pasaran untuk barang keluaran tempatan. Pertambahan penduduk sebanyak empat atau lima kali ganda semestinya menimbulkan beberapa implikasi sosio-ekonomi. Kesan pembesaran kependudukan sebegini rupa akan dirasai di semua peringkat kehidupan khususnya terhadap sumber-sumber negara. Di antara bidang bidang yang akan terlibat adalah seperti berikut:-
i. Bekalan Makanan
Sebahagian besar barang-barang makanan terpaksa di import dan ini akan menimbulkan masalah jaminan makanan dan pertukaran asing. Dengan itu kajian yang sepatutnya perlulah dibuat mengenai keupayaan kegunaan tanah dan penggunaan sumber-sumber lain.
ii. Perumahan
Sekurang-kurangnya sebanyak 10 juta unit perumahan akan diperlukan untuk menampung tambahan penduduk sebanyak 50 juta dan ini akan mengambil masa selama 100 tahun mengikut kadar pembinaan sekarang ini.
iii. Pekerjaan
Lebih daripada 20 juta pekerjaan baru perlu diujudkan. Dengan demikian adalah penting untuk menggerakkan tenaga buruh menjadi berdisiplin, bermotivasi dan produktif.
iv. Kesihatan
Bilangan katil-katil hospital perlu ditambah dari 25 ribu sekarang ini kepada 140,000 jika matlamat jangka panjang iaitu 2 katil bagi tiap-tiap 1,000 penduduk hendak dicapai. Bilangan doktor-doktor pun perlu ditambah daripada 4,200 kepada lebih 30,000.
v. Pelajaran
Tempat bagi 15 juta hendaklah disediakan dan sekurang-kurangnya 4000,000 guru diperlukan.
vi. Bekalan Air
Penggunaan air adalah dijangkakan sebanyak 15.6 billion meter padu. Kekurangan air telah pun dijangkakan pada tahun 2000 bagi jumlah penduduk sebanyak 21 juta.
vii. Penggunaan Tenaga
Penggunaan tenaga akan meningkat sebanyak 4 atau 5 kali ganda ini akan berlipat ganda lagi dengan adanya ekonomi perindustrian. Masalah ini akan bertambah rumit kerana pencapaian 70 juta akan berlaku dalam masa Malaysia mengalami kehabisan minyak dan gas (post-hydrocarbon).
Berikutan dari masalah-masalah di atas, adalah penting agar dasar- dasar yang sewajarnya diberi perhatian yang utama. Di antara dasar- dasar tersebut adalah seperti berikut:-
i. Dasar pembangunan ekonomi, yang mengambilkira pertalian antar pembangunan dan kesuburan, kematian, penghijrahan di samping pertumbuhan, komposisi dan taburan penduduk serta peningkatan pendapatan daya pengeluaran.
ii. Dasar tenaga manusia, yang mengambilkira pertumbuhan tenaga buruh dan perubahan kadar penyertaan tenaga buruh mengikut jantina dan juga keperluan yang meningkat untuk latihan teknologi yang termaju.
iii. Dasar sosial yang memberi tumpuan kepada aspek-aspek sepertikesihatan, pelajaran, perumahan, pembangunan keluarga (termasuk perancang kelauarga) peningkatan kebudayaan, keseimbangan sosial dari segi kumpulan ethnik dan jantina, kebajikan kanak- kanak dan orang-orang tua dan lain-lain kerana kesemuanya ini akan dipengaruhi oleh arus pembangunan sosioekonomi, pertumbuhan dan taburan penduduk.
iv. Dasar makanan, air dan pertanian haruslah memberi tekanan ke atas kecukupan dari segi taburan, perubahan corak penggunaan dan juga ke atas peningkatan cara-cara penghasilan.
v. Dasar Tenaga haruslah dan mengenalpasti sumber-sumber tenagabaru.
vi. Dasar alam sekitar yang mengambil kira bahaya-bahaya akibat kerosakan ekosistem yang disebabkan oleh perkembangan dan pertumbuhan penduduk yang pesat.
Kerajaan dalam usaha mencapai dasar kependudukan ini telah memperkenalkan beberapa langkah, di antaranya dasar percukaian dan faedah-faedah bersalin yang akan memberi munafaat kepada keluarga beranak lima. Kerajaan juga telah mengkaji semula dan menyelaraskan fungsi-fungsi dan peranan Lembaga Kependudukan dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan lembaga ini diharap dapat memainkan peranan yang penting dalam mencapai matlamat dasar ini.
Pertumbuhan penduduk dan kemajuan ekonomi diimbangi dengan pengurusan yang cekap ke arah pembangunan yang mampan.
Penutup
Pencapaian Dasar Sehingga 1990
Berasaskan kepada data-data semasa, jumlah kadar kesuburan telah menurun daripada 3.8 bagi setiap wanita dalam tahun 1981 kepada 3.6 dalam tahun 1990. Laluan pertumbuhan penduduk ini adalah seperti yang ditunjukkan di Rajah 1. Pertumbuhan penduduk negara pula mencatitkan penambahan daripada 13.8 juta dalam tahun 1980 kepada 17.8 juta dalam tahun 1990. Pada keseluruhannya, tren ini adalah selaras dengan matlamat Dasar ini. Walaubagaimanapun, penurunan kadar kesuburan ini adalah berbeza di antara kumpulan-kumpulan ethnik negara ini. Jumlah kadar kesuburan Melayu dalam tahun 1990 adalah melebihi matlamat, iaitu 4.3, berbanding dengan jumlah kadar kesuburan Cina dan India yang kini menghampiri paras penggantian.
RAJAH 1
Laluan Pertumbuhan Penduduk ke Arah
Pencapaian Matlamat 70 Juta Penduduk
--------------------------------------------
Tahun Jumlah Kadar Pertumbuhan
Kesuburan Penduduk (Juta)
1990 3.6 17.6
2000 3.5 22.3
2010 3.3 27.7
2020 3.1 33.6
2030 2.9 39.8
2040 2.7 46.0
2050 2.5 51.9
2060 2.3 57.5
2070 2.05 62.1
2080 2.05 65.8
2090 2.05 68.7
2100 2.05 70.8
Dari segi penyelarasan perlaksanaan Dasar ini pula, pada keseluruhannya faktor-faktor kependudukan mengikut matlamat Dasar ini telah dapat diambilkira dan diintegrasikan di peringkat perancangan sektor-sektor pembangunan. Ini dihasilkan menerusi kerjasama yang rapi dengan agensi-agensi Kerajaan yang berkaitan.
Dalam sektor kesihatan, Kementerian yang berkenaan telah menyatukan strategi-strategi dan objektif-objektifnya dengan Dasar Kependudukan Negara dalam merancang dan melaksanakan perkhidmatan-perkhidmatannya. Bagi tempoh 1984-1989, Kementerian ini telah dapat memenuhi keperluan kesihatan untuk penduduk negara yang telah bertambah.
Pencapaian ini dapat ditinjau melalui kadar kematian kasar yang telah menurun daripada 12.4 setiap 1,000 penduduk dalam tahun 1957 kepada 4.6 dalam tahun 1989. Kadar kematian bayi pula telah menurun daripada 75.5 setiap 1,000 kelahiran kepada 13.2 dalam tempoh yang sama. Sementara kadar kematian ibu bersalin mencatitkan penurunan kepada 0.24 setiap kelahiran dalam tahun 1988, berbanding dengan 1.48 dalam tahun 1970. Akibat daripada penurunan kadar kematian ini, jangka hayat penduduk negara telah meningkat daripada 55.8 tahun (1957) kepada 68.8 tahun (1989) bagi lelaki dan dari 58.2 kepada 73.3 bagi wanita.
Bagi sektor pendidikan pula, faktor-faktor kependudukan telah digunakan sejak tahun 1984 bagi menganggarkan bilangan murid-murid yang akan memasuki Darjah 1, bilangan bilik darjah dan guru, bilangan yang akan menamatkan persekolahan dan menyertai pasaran buruh serta taburan keciciran mengikut jantina dan umur. Selain daripada itu, aspek-aspek kependudukan juga telah diperkenalkan di dalam kurikulum-kurikulum persekolahan menerusi mata-mata pelajaran seperti Alam dan Manusia, Kemahiran Hidup, Ilmu Alam dan Statistiks.
Untuk mempertingkatkan lagi pengetahuan dalam bidang-bidang kependudukan dan kekeluargaan, LPPKN juga telah menghasilkan beberapa usaha kajian dan penyelidikan. Penemuan-penemuan kajian ini menyediakan sumber rujukan dan input yang penting kepada perancangan, pengawasan dan penilaian pencapaian perlaksanaan Dasar Kependudukan Negara.
Di bawah program Pembangunan Keluarga pula, pencapaian yang diperolehi sehingga kini adalah pada keseluruhannya memuaskan. Di antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan termasuklah perkhidmatan perancang keluarga yang bertujuan untuk menjaga kesihatan ibu dan anak serta kesejahteraan keluarga melalui amalan penjarakan kelahiran yang lebih baik. Untuk tempoh Rancangan Malaysia Kelima (1986-1990), seramai 380,621 penerima baru perancang keluarga telah didaftarkan. Ini merupakan penambahan sebanyak 19.3% berbanding dengan pencapaian di bawah Rancangan Malaysia Keempat (1991-1995).
Di bawah program ini juga beberapa aktiviti penyelidikan telah dan sedang dilaksanakan dalam bidang-bidang biomedikal dan perubatan reproduksi manusia. Ini meliputi kajian-kajian mengenai kaedah-kaedah dan teknologi kontraseptif serta aspek kemandulan dan kebakaan. Hasil-hasil kajian ini digunakan bagi merumus satu program kebangsaan perkhidmatan perancang keluarga untuk digunakan oleh agensi-agensi yang berkenaan.
Untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentigan peranan institusi keluarga, LPPKN juga telah menjalankan aktiviti-aktiviti pendidikan dan kaunseling keluarga yang merangkumi perkara-perkara seperti perkahwinan, penjagaan anak dan keibubapaan. Pada awal bulan Mac, 1990, Lembaga ini dengan kerjasama Kementerian Kebajikan Masyarakat telah melancarkan Kempen Keluarga Bahagia di peringkat seluruh negara. Kemuncak kempen ini yang telah mendapat sambutan baik di kalangan orang ramai ialah pelancaran Hari Keluarga Kebangsaan pada 11 November, 1990. Perayaan ini yang akan diadakan setiap tahun pada tarikh berkenaan merupakan satu pengiktirafan rasmi oleh pihak Kerajaan mengenai pentingnya institusi keluarga di dalam proses pembangunan negara. Pelancaran Hari Keluarga Kebangsaan juga meletakkan Malaysia di antara negara yang pertama yang menetapkan satu hari yang khusus untuk merayakan institusi keluarga.
Pihak LPPKN kini sedang berusaha untuk memantapkan lagi perlaksanaan program Pembangunan Keluarga di masa-masa akan datang. Dalam hubungan ini keutamaan ditumpukan kepada usaha menyelaraskan aktiviti-aktiviti kekeluargaan yang dijalankan oleh pelbagai agensi ke arah pencapaian matlamat pengekalan dan pengukuhan institusi keluarga sebagai unit asas masyarakat.
Masalah-masalah Yang Dihadapi
Di antara masalah-masalah yang dihadapi dalam perlaksanaan Dasar Kependudukan Negara ialah :-
i. Tahap Pemahaman Mengenai Dasar Yang Rendah
Hasil daripada kajiselidik yang telah dijalankan oleh LPPKN dan Jabatan Penerangan Malaysia menunjukkan bahawa masih terdapat banyak perbezaan dalam tanggapan dan persepsi masyarakat mengenai Dasar ini. Di antara lain, Dasar ini disalah anggap sebagai satu rancangan untuk menggalakkan kadar kelahiran yang lebih tinggi.
Di samping itu masih juga terdapat keadaan di mana isi kandungan mesej-mesej yang disiarkan kepada orangramai oleh beberapa agensi Kerajaan sering bertentangan antara satu dengan lain atau dengan objektif-objektif Dasar Kependudukan Negara.
Bagi mengatasi masalah ini, LPPKN akan meneruskan usaha-usaha penyebaran maklumat mengenai Dasar ini kepada semua lapisan masyarakat menerusi media cetak dan lain-lain aktiviti seperti seminar, bengkel, kursus dan majlis-majlis taklimat. Dalam usaha ini, peranan lain-lain agensi yang terlibat dengan penyiaran dan penerangan kepada orang ramai juga adalah sangat mustahak untuk mengurangkan kekeliruan dan masalah salah tafsiran Dasar ini.
ii. Keperluan Memperkukuhkan Penyelarasan Perlaksanaan Dasar
Faktor-faktor Kependudukan mempengaruhi dan juga dipengaruhi oleh pembangunan sosioekonomi. Walaupun pada keseluruhannya pencapaian agensi-agensi sektoral dalam melaksanakan Dasar Kependudukan Negara adalah memuaskan, aspek penyelarasan antara agensi ini masih perlu dipertingkatkan. Usaha ini perlu dilaksanakan lebih-lebih lagi dengan adanya beberapa Dasar baru yang telah digubal oleh Kerajaan, seperti, Dasar dan Plan Induk Penswastaan, Dasar Pendidikan Negara, Dasar Pertanian dan lain-lain.
Untuk memperkukuhkan lagi mekanisme penyelarasan perlaksanaan Dasar Kependudukan Negara,LPPKN sedang berusaha untuk mewujudkan semula Jawatankuasa Penasihat Penduduk. Jawatankuasa ini telah ditubuhkan oleh Kerajaan dalam tahun 1985 untuk tempoh 2 tahun bagi mengkaji aliran pertumbuhan kependudukan negara serta aspek aspek yang berkaitan dengan perlaksanaan Dasar ini. Keanggotaan Jawatankuasa ini akan terdiri daripada mereka yang mempunyai pengalaman dalam bidang kependudukan dari agensi-agensi Kerajaan dan pusat-pusat pengajian tinggi. Satu daripada fungsi utama Jawatankuasa ini kelak ialah pembentukan satu Pelan Indikatif yang akan merangkakan keperluan-keperluan sumber mengikut sektor bagi tempoh-tempoh jangka panjang, pertengahan dan jangka pendek selaras dengan perlaksanaan Dasar Kependudukan Negara.
Selain daripada itu, LPPKN juga akan terus menjalankan aktiviti-aktiviti kajian untuk mendapatkan maklumat yang lebih kemas kini mengenai kependudukan. Dalam hubungan ini, bermula dengan Rancangan Malaysia Keenam (1991-1995), satu usaha mengumpul data-data demografi akan dilaksanakan di peringkat peringkat Negeri dan juga Daerah. Usaha ini dijangka akan memperkukuhkan lagi sumber data dan juga penyelarasan pelaksanaan Dasar Kependudukan Negara.
Malaysia adalah dalam golongan negeri-negeri yang kecil yang secara tegasnya mempunyai dasar kependudukan. Untuk matlamat dasar kependudukan ini secara berkesan, adalah penting mengadakan dasar-dasar serentak dalam bidang-bidang ekonomi, sosial, guna tenaga, alam sekitar, makanan, air, pertanian, tenaga dan lain-lain secara menyeluruh. Dengan itu adalah perlu supaya semua pihak iaitu Kerajaan, sektor swasta dan yang paling penting daripada rakyat sendiri, memainkan peranan masing-masing dengan penuh tanggungjawab.
Dasar ini sebenarnya memperlihatkan satu perubahan pemikiran yang penting dan radikal mengenai kependudukan iaitu daripada dasar pertumbuhan yang berbentuk 'restrictive' kepada yang berbentuk 'promotive'. Dasar seperti ini diharap memelihara kepentingan jangka panjang negara memandangkan hakikat bahawa rakyat bukanlah merupakan 'tanggungan' negara tetapi sebaliknya dianggap sebagai harta-harta produktif yang penuh berpotensi. Seperti yang telah dihuraikan oleh Y.A.B. Perdana Menteri sendiri, sebarang pertambahan dari segi kependudukan sepatutnyalah diiringi dengan pertambahan daya pengeluaran yang seimbang di segenap bidang. Perkara yang utama dalam hal ini ialah untuk mempastikan kadar pertumbuhan ekonomi mendahului kadar pertumbuhan kependudukan.
DASAR URBANISASI NEGARA
Latarbelakang
Setakat ini tidak ada dasar Urbanisasi Negara yangkomprehensif dan yang telah diistiharkan secara rasmi oleh kerajaan. Walaubagaimanapun terdapat beberapa strategi dan pendekatan berhubung dengan pembangunan bandar terutamanya dalam konteks pencapaian matlamat pembangunan negara yang berasaskan DEB.
Kerajaan menganggap bahawa proses urbanisasi yangdi rancang dan dikawal adalah merupakan satu strategi penting untuk mencapai matlamat DEB di samping memupuk perseimbangan ekonomi di antara bandar dan luarbandar. Selaras dengan ini kerajaan telah menubuhkan dua Jawantankuasa Tertinggi, satu dianggotai oleh ahli-ahli politik dengan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri dan satu lagi dianggotai oleh pegawai- pegawai Tadbir dengan dipengurusikan oleh Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi. Tugas kedua-dua jawatankuasa in ialah untuk merancang dan merangka satu dasar Urbanisasi Negara yang lengkap dan komprenhensif.
Rasional
Pembangunan bandar yang seimbang adalah merupakan sebahagian daripada strategi yang penting untuk memupuk satu sistem ekonomi yang bersepadu. Ini akan tercapai melalui pengurangan jurang perbezaan antara wilayah supaya faedah daripada pembangunan ekonomi dan perkhidmatan asas bandaran dapat diagihkan secara meluas dan saksama di seluruh negara. Dalam hal ini pembentukan dasar urbanisasi negara akan dapat mengwujudkan pembangunan pusat-pusat bandar yang lebih teratur dalam satu rangkaian pusat-pusat bandar yang lebih padat dan yang mengandungi bandar-bandar yang berbeza dari segi saiz dan peranannya.
Rantaian perhubungan antara bandar dengan luarbandar yang lebih berkesan bukan sahaja membolehkan lebih ramai isi rumah luarbandar menyertai kegiatan-kegiatan berasaskan bandar yang mempunyai daya pengeluaran yang tinggi tetapi juga dapat mempercepatkan proses pemodenan kawasan-kawasan luarbandar.
Objektif
Selaras dengan usaha kerajaan untuk membentuk satu Dasar Urbanisasi Negara; objektif-objektif dasar yang khusus sedang dirangka. Dalam hal ini faktor-faktor berikut yang berkaitan dengan proses urbanisasi dan hubungannya dengan pembangunan ekonomi akan diambil kira:-
(i) Proses demographi dan urbanisasi.
(ii) Keadaan perkaitan yang rapat yang wujud di antara proses pembangunan sosio- ekonomi dengan proses dan pola-pola urbanisasi
(iii) Kesan 'spatial' berikutan dengan perlaksanaan dasar dan program di peringkat negara dan wilayah.
(iv)Dimensi-dimensi khusus dari segi proses perbandaran
(v) Peralatan-peralatan dasar (Policy Instrument) yang telah dirangka untuk mencapai matlamat DEB.
Strategi Pelaksanaan
Dalam usaha kerajaan untuk mencapai matlamat pembangunan negara melalui proses pembangunan bandar yang dirancang dan dikenalpasti maka kerajaan telah merangka beberapa strategi khusus. Di antaranya ialah:
(i) Mempastikan pembangunan bandar dengan lebih seimbang dari segi pembangunan fizikal, susunan kaum dan penyertaan dalam pembangunan bandar melalui pengurusan sumber yang lebih cekap seperti tanah, pengangkutan, perumahan, tenaga manusia dan infrastruktur sosial.
(ii) Mempercepatkan proses pembandaran di kawasan luarbandar dengan cara melibatkan peneroka-peneroka di sekim pembangunan tanah dan penduduk-penduduk di kawasan in-situ dalam kegiatan-kegiatan ekonomi bandar melalui perkembangan perkhidmatan,perdagangan dan runcit serta industri-industri kecil. Penyertaan tersebut adalah bertujuan untuk mengurangkan pengaliran pendapatan kekawasan lain dan juga untuk menerapkan unsur-unsur pembangunan bagi mempergiatkan ekonomi tempatan.
(iii) Mempastikan pembangunan secara teratur di pusat-pusat bandar yang sedia ada dengan mengambilkira keadaan tempatan. Selaras dengan tujuan ini pelan-pelan struktur bagi pusat-pusat utama dan pelan-pelan tempatan bagi umpulan-kumpulan pusat-pusat bandar kecil akan disediakan. Pelan-pelan ini akan menjadi garispanduan bagi pembangunan dan pembaharuan semula bandar di samping meningkatkan kecekapan dalam perancangan-perancangan kawasan-kawasan bandar.
(iv) Mempercepatkan pembangunan bandar didalam kawasan-kawasan Lembaga Kemajuan Wilayah dengan cara mengkaji kemungkinan-kemungkinan memperluaskan liputan dan bidang penglibatan sektor swasta selaras dengan usaha menggalakkan pembangunan kegiatan-kegiatan bandar terutamanya pembinaan, pembuatan dan perkhidmatan dalam kawasan-kawasan pembangunan wilayah berkenaan.
(v) Memperkenalkan konsep memperbandarkan kampung-kampung dengan cara pengelompokan kampung-kampung kecil yang terletak berdekatan bagi dijadikan bandar kecil atau pusat pembangunan desa di mana kegiatan-kegiatan perindustrian kecil, perniagaan dan pertanian secara komersial dapat diwujudkan.
Pencapaian
Sungguhpun pencapaian dari segi pelaksanaan dasar dan masalah yang berbangkit tidak dapat ditukarkan oleh kerana dasar urbanisasi negara yang komperhensif masih dalam peringkat persediaan, beberapa pencapaian telah dihasilkan berikutan daripada perlaksanaan strategi pembangunan bandar tertentu sepertimana yang telah dihuraikan di atas.
Dalam usaha untuk mewujudkan pembangunan yang lebih seimbang terutama dari segi pembangunan fisikal, susunan kaum dan penyertaan dalam kegiataan-kegiataan ekonomi perbandaran, Kerajaan telah dapat mewujudkan lapan Lembaga Kemajuan Wilayah di kawasan-kawasan pinggiran yang kurang maju (frontier regions) dan tidak kurang daripada 32 kawasan projek pembangunan pertanian secara berpadu (IADP'S) di kawasan-kawasan tradisional (traditional agriculture areas.)
Kesan daripada kejayaan pelaksanaan usaha-usaha ini telah dicerminkan oleh peningkatan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di semua negeri.
Walaubagaimanapun strategi kerajaan untuk mempercepatkan pembangunan bandar di dalam kawasan-kawasan Lembaga Kemajuan Wilayah agak kurang berjaya. Walaupun 30 daripada 36 buah bandar baru telah dapat diwujudkan, bilangan penduduk di bandar-bandar ini pada akhir tahun 1983 hanya berjumlah 89,400 orang. Ini merupakan hanya 30.3% daripada matlamat yang ditetapkan untuk sehingga 1985. Strategi kerajaan untuk membandarkan kawasan-kawasan luarbandar terutama di rancangan-rancangan Felda dan kawasan-kawasan In-Situ yang mundur,juga kurang berjaya. Walaupun bilangan penduduk di kawasan-kawasan ini tidak menjadi masalah tetapi usaha untuk meluaskan kegiatan ekonomi perbandaran seperti perkembangan perkhidmatan, perdagangan dan runcit serta industri-industri kecil amat terbatas. Ini menyebabkan pengaliran keluar pendapatan di samping tenaga pekerja ke lain-lain kawasan terutama ke bandar-bandar yang sedia ada.
Sebagai satu usaha untuk membaiki keadaan ini kerajaan telah membentuk satu strategi yang baru iaitu 'Halacara Baru Dalam pembangunan Kampong dan Luarbandar'. Usaha ini melibatkan pembentukan pusat-pusat pembangunan desa melalui proses penyatuan kampung-kampung yang berdekatan di samping menggalakkan penyatuan tanah-tanah pertanian yang tidak ekonomik dari segi saiz dan pertumbuhan industri-industri kecil kampung. Setakat ini kerajaan telah pun mengenalpasti sebanyak 27 kampong terutama di negeri-negeri kurang maju untuk melaksanakan program ini.
Selaras dengan usaha untuk mempastikan wujud pembangunan secara teratur di bandar-bandar yang sedia ada kerajaan telah mengenalkan konsep 'Pelan Struktur' dan 'Pelan Tempatan' (Akta Perancang Bandar dan Desa, 1976). Setakat ini banyak bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur,Ipoh, Johor Bharu, dan Kota Bharu telah mempunyai pelan strukturnya sendiri.
PENCAPAIAN DASAR SEHINGGA 1990
Oleh kerana Dasar Urbanisasi Negara tidak mempunyai program yang khusus dan menyeluruh maka sukar untuk kita mengukur dengan tepat prestasi perlaksanaannya.Dalam mengukur prestasi proses urbanisasi dua aspek di ambil kira iaitu :-
1. Penyusunan Semula Masyarakat
(i) Perlaksanaan pembangunan bandar masih lagi tertumpu di bandar-bandar utama sahaja di mana banyak peluang-peluang pekerjaan diwujudkan. Akibatnya bumiputera ketinggalan dalam persaingan dengan bukan bumiputera yang sememangnya telah menguasai kependudukan dan ekonomi bandar-bandar utama. Dengan ini perseimbangan kaum dalam pembahagian ekonomi dan penyusunan masyarakat tidak tercapai.
(ii) Peningkatan penduduk di kawasan bandar telah bertambah dari 28.6% pada tahun 1970 kepada 37.5% pada tahun 1980 dan dijangka akan meningkat 44.7% pada dekad 90. Dari peratus pertambahan ini, bumiputera telah bertambah sebanyak 14%.
(iii) Hasil dari penghijrahan penduduk bandar dan perluasan pengkelasan semula sempadan bandar saiz sederhana seperti Kota Bharu, Kuala Terengganu dan Taiping,penduduk bandar telah meningkat 23% lebih cepat dari penduduk luar bandar.
(iv) Sehingga akhir tahun 1985,pelan-pelan struktur bagi Kuala Lumpur dan Johor telah disediakan, sementara itu 12 lagi pelan-pelan struktur di antaranya pelan struktur Seberang Perai, Seremban, Kuala Terengganu dalam peringkat penyediaan.
(v) Strategi pembangunan bandar baru di kawasan di Lembah Kemajuan Wilayah juga didapati kurang berjaya. Peluang pekerjaan yang bukan pertanian hanya sedikit sahaja dapat diwujudkan di kawasan-kawasan bandar baru. Begitu juga dengan pertumbuhan penduduk,hingga akhir tahun 1985 penduduk bandar baru kurang 1/3 daripada penduduk bandar keseluruhannya.
(vi) Dalam usaha UDA untuk menyusun semula masyarakat melalui program pembangunan semula, UDA telah berjaya membangunkan semula beberapa kawasan bandar seperti kawasan Bangsar Utama, kawasan Jalan Raja Abdullah dan juga kawasanTanjung Tokong dan Bukit Jambul di Pulau Pinang.
2. Pengagihan dan Perseimbangan Ekonomi
(i) Sumbangan ekonomi bandar kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) telah meningkat dari 66% pada tahun 1970 kepada 70% pada tahun 1980. Pertumbuhan ini dijangka akan meningkat melebihi 70% pada dekad 90. Jelas terbukti ekonomi bandar telah memberi sumbangan besar kepada KDNK.
(ii) Sehingga akhir tahun 1988, hasil perangkaan dibuat menunjukkan bahawa hampir keseluruhan ekonomi bandar tertumpu di beberapa kawasan bandar utama seperti Butterworth dan Pasir Gudang. Ini menunjukkan pengagihan ekonomi bandar dan luar bandar tidak berlaku secara seimbang.
(iii) Secara keseluruhannya,pendapatan di antara bumiputera dengan bukan bumiputera dalam sektor pembuatan, pembinaan, perniagaan, kewangan, insuran, hartanah dan perkhidmatan masih menampakan perbezaan yang ketara. Pendapatan min bumiputera adalah lebih rendah dari pendapatan min bukan bumiputera
(iv) Ketidakseimbangan juga wujud di antara wilayah. Wilayah-wilayah yang sedia maju seperti Wilayah Persekutuan dan Selangor masih mempunyai KDNK per kapita yang tinggi jika dibandingkan dengan wilayah-wilayah lain seperti Wilayah Utara atau Wilayah Timur.
(v) Dalam hal mengseimbangkan ekonomi antara bumiputera dengan bukan bumiputera, proses urbanisasi telah berjaya menambah pemilikan equiti bumiputera dalam sektor koporat dari tahun 1970 - 1988 sebanyak 17% sementara bukan bumiputera sebanyak 21.7%.
Penutup
Pembangunan bandar yang ada dan yang akan diadakan selaras dengan usaha pembentukan satu Dasar Urbanisasi Negara yang komprehensif amatlah penting bagi menjamin pencapaian kepada matlamat pembangunan negara. Hasrat kerajaan ialah untuk mempastikan supaya proses urbanisasi, corak dan tahap pembangunan matlamat DEB secara lebih berkesan lagi.
Setelah melihat perkembangan ekonomi dan pengaruh kependudukan membuktikan bahawa satu dasar urbanisasi yang komprehensif haruslah dilaksanakan dengan segera untuk mencapai matlamat pembangunan negara dan DEB.Tanpa dasar yang lengkap akan menyebabkan pertumbuhan bandar yang tidak seimbang dan seterusnya tidak membantu pembangunan negara sepenuhnya. Penumpuan aktiviti sosioekonomi di beberapa bandar tertentu sahaja juga akan merugikan penduduk bumiputera yang kebanyakannya tinggal di luar bandar.
DASAR PERINDUSTRIAN NEGARA
Latarbelakang
Di dalam dekad 50-an dan 60-an, program perindustrian di negara ini dijalankan sebagai usaha untuk mempelbagaikan ekonomi negara yang pada masa itu amat bergantung kepada getah dan bijih timah. Memandangkan harga kedua-dua komoditi ini tidak stabil, kerajaan telah melancarkan program perindustrian untuk mencetuskan perkembangan ekonomi yang lebih pesat dan stabil. Dasar pembangunan perindustrian pada masa itu adalah tertumpu kepada industri-industri yang bercorak gantian import.
Sejak tahun 70-an, kerajaan di samping mempelbagaikan ekonomi telah menitikberatkan pertumbuhan industri yang lebih pesat untuk menampung keperluan pekerjaan dan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Dalam hal ini, tumpuan telah diberikan kepada industri-industri yang berasaskan eksport dan industri yang mengunakan ramai buruh.
Mulai tahun 80-an pula, program perindustrian negara mengalami satu lagi perkembangan meneeusi penggalakan industri berat. Ini bertujuan untuk memperkukuhkan lagi asas perindustrian negara dan menambahkan kemahiran rakyat di bidang teknologi yang lebih tinggi. Ia juga bertujuan untuk mempercepatkan lagi proses perindustrian. Kerajaan memainkan peranan secara langsung di dalam merancang, melaksana, membiayai dan mengurus industri-industri berat memandangkan sektor swasta tidak mampu menanggung perbelanjaan atau menghadapi risiko dalam mengendalikan projek-projek yang bukan sahaja melibatkan modal yang besar, tetapi juga hanya dapat memberi pulangan dalam tempoh masa yang panjang.
Walaupun pada keseluruhannya perkembangan industri negara dalam tahun-tahun 60-an, 70-an dan awal 80-an adalah memuaskan tetapi banyak masalah dan kelemahan masih wujud di dalam sektor ini. Misalnya, pertumbuhan sektor eksport adalah tidak begitu memuaskan jika dibandingkan dengan sektor dalam negeri. Eksport barang-barang pembuatan Malaysia terlalu bergantung kepada segelintir industri sahaja seperti elektrik dan elektronik dan tekstil. Mutu keluaran juga pada keseluruhannya tidak begitu memuaskan dan tidak dapat bersaing dengan keluaran negara-negara asing. Ini disebabkan tahap teknologi yang masih rendah dan kurangnya kemahiran rakyat tempatan untuk mempertingkatkan atau memperbaharui teknologi yang diterima dari luar. Satu masalah besar ialah kurangnya hubungkait di antara sektor perindustrian dengan sektor-sekctor lain menyebabkan tidak wujudnya integrasi ke hadapan dan ke belakang (back-ward and forward integration.) Industri-industri yang ditubuhkan juga kurang mempunyai nilai ditambah (value added) kerana banyak menumpukan kepada aktiviti pemasangan sahaja. Oleh itu, sekiranya sektor perindustrian dikehendaki terus memainkan peranan utama dalam pembangunan negara, perlulah diwujudkan matlamat-matlamat jangka panjang yang disokong dengan dasar dan strategi pembangunan yang baru.
Selaras dengan hasrat untuk mengenalpasti kelemahan ciri-ciri struktur serta mengatasinya, kerajaan telah melancarkan dua kajian utama pada tahun 1983, iaitu Kajian Dasar Perindustrian Malaysia (KDPM) dan Pelan Induk Perindustrian (PIP). KDPM benujuan untuk menyemak dan mengubahsuai dasar-dasar perindustrian negara yang sedia ada dan mengkaji semula galakan-galakan pelaburan dan dasar-dasar peningkatan eksport. PIP pula bertujuan untuk menggubal objektif pembangunan perindustrian secara am dalam mengenalpasti strategi-strategi untuk sektor-sektor kecil yang berpotensi untuk tumbuh dengan pesat. Dasar utama perindustrian telah mengambil kira beberapa prinsip asas yang terkandung di dalam perakuan-perakuan kedua-dua kajian ini.
Rasional
Penggubalan dasar perindustrian negara melambangkan keazaman kerajaan untuk mempergiatkan lagi proses industrialisasi negara agar sektor pembuatan menjadi punca utama pertumbuhan ekonomi negara. Kemelesetan ekonomi yang melanda negara pada tahun 1985-1986 telah menunjukkan kelemahan dalam struktur industri negara. Pengalaman dalam dekad 80-an di mana semua harga komoditi utama telah jatuh secara serentak mendorong kerajaan memikirkan strategi-strategi ekonomi jangka panjang untuk mengenalpasti dan mengatasi kelemahan-kelemahan struktur sektor pembuatan ini. Seandainya masalah-masalah ini dapat diatasi, kerajaan yakin sektor ini boleh memainkan peranan yang lebih dinamik lagi melalui sumbangan-sumbangan yang lebih besar dari segi menambah eksport, mengadakan lebih banyak peluang-peluang pekerjaan serta memperbanyakkan peluang-peluang latihan teknikal dan kemahiran.
Pada jangka panjangnya, PIP diharapkan dapat meletakkan asas yang kukuh bagi negara ini menjadi sebuah negara perindustrian yang maju. Jelas di negara-negara perindustrian yang ada sekarang, sektor perkilangan (selain daripada sektor perkhidmatan) merupakan sektor yang terpenting dalam menggerakkan jentera pembangunan negara. Banyak negara maju dan negara perindustrian dahulunya merupakan negara-negara pertanian yang mundur, tetapi oleh kerana mereka memasuki bidang perindustrian dengan bersungguh-sungguh, hari ini mereka telah maju.
Walaupun bidang pertanian di Malaysia merupakan satu kegiatan ekonomi yang penting namun demikian pertanian tidak mungkin dapat mewujudkan peluang-peluang pekerjaan bagi puluhan ribu lulusan sekolah dan institusi pengajian tinggi setiap tahun.
Objektif
Objektlf Pelan Induk Perindustrian (PIP)
Pelan Induk Perindustrian yang telah diumumkan oleh Menteri Perdagangan dan Perindustrian pada 3 Februari, 1986 telah menggariskan tiga matlamat iaitu:
(a) Menjadikan sektor perkilangan sebagai catalyst pertumbuhan
perindustrian negara;
(b) Menggalakkan penggunaan sepenuhnya sumber asli negara; dan
(c) Meninggikan tahap penyelidikan dan pembangunan (R & D) teknologi
tempatan sebagai asas bagi Malaysia menjadi sebuah negara perindustrian
Strategi Pelaksanaan
Strategi Pelan Induk Perindustrian
Untuk mencapai matlamat-matlamat tersebut, PIP telah mengenalpasti 12 sektor industri yang patut diberi penekanan. Tujuh daripada sektor-sektor ini adalah yang berasaskan sumber tempatan iaitu industri yang berasaskan getah, kelapa sawit, kayu-kayan, makanan, kimia, logam bukan ferus dan keluaran-keluaran galian bukan logam. Lima sektor lagi merupakan industri yang bukan berasaskan sumber iaitu eletrik dan eletronik, peralatan pengangkutan, mesin dan kejuruteraan, logam-logam ferus, dan tekstil dan pakaian. Kesemua industri ini telah dipilih berasaskan kepada potensi untuk mencapai matlamat memperluaskan asas industri negara. PIP juga telah mencadangkan langkah-langkah berikut diambil supaya Malaysia dapat mencapai taraf sebuah negara perindustrian:
(a) Melaksanakan dasar perindustrian yang berpandangan ke luar. Untuk mengekalkan kadar pertumbuhan perindustrian yang tinggi, Malaysia harus menumpukan kepada pengeksportan keluaran-keluaran perkilangan secara besar-besaran. Masalah pasaran yang kecil telah menjadi satu faktor penghalang bagi industri-industri tempatan mencapai produktiviti yang lebih tinggi dan lebih kompetitif;
(b) Memajukan secara intensif industri-industri berasaskan sumber untuk eksport dan mempelbagai serta meningkatkan industri bukan berasaskan sumber untuk eksport. Dari 12 sektor industri yang terpilih, beberapa keluaran/industri telah dikenalpasti sebagai keluaran/industri keutamaan untuk dimajukan;
(c) Memajukan industri-industri berat terpilih untuk menyokong industri-industri eksport. Strategi ini dipilih memandangkan kerajaan sudahpun membuat pelaburan yang banyak dalam beberapa jenis industri berat. Usaha-usaha perlu ditumpukan kepada memastikan kejayaan projek-projek itu dahulu sebelum menceburi bidang-bidang industri berat yang lain;
(d) Memaju dan menggunakan sistem perkhidmatan maklumat yang
bersepadu;
(e) Membangunkan teknologi dan tenaga rakyat;
(f) Mengurangkan perbelanjaan dalam pembinaan infrastruktur dengan
memberi tumpuan kepada pertumbuhan industri-industri di kawasan yang telah sedia mempunyai kemudahan infrastruktur yang diperlukan. Penubuhan industri-industri diutamakan di sepanjang western corridor di pantai barat Semenanjung yang mempunyai hampir 75-80 peratus penduduk dan di mini corridor di pantai timur. Semenanjung, dengan tumpuan di kawasan sekitar Kota Bharu, Kuala Terengganu dan Kuantan, dan di bandar-bandar di Sabah dan Sarawak seperti Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau, Labuan, Kuching, Sibu dan Bintulu;
(g) Memoden dan menyusun semula struktur perindustrian dengan
mempertingkatkan pembangunan industri-industri kecil dan sederhana kerana sektor ini merupakan tulang belakang proses perindustrian seperti yang ternyata di negara Taiwan dan menyusun semula industri-industri yang kurang berkesan tetapi penting dalam ekonomi negara;
(h) Memperkukuhkan institusi-institusi yang bertanggungjawab kepada
pembangunan sektor pembuatan; dan
(i) Menyusun semula sistem galakan perindustrian yang sedia ada
untuk memupuk kecekapan dan daya bersaing yang lebih tinggi
Penutup
PIP merangkumi strategi-strategi dan langkah-langkah yang boleh membawa Malaysia ke dalam era sebuah negara perindustrian dan seterusnya menjadi teras kepada sebuah negara maju. Melaluinya, pertumbuhan ekonomi Malaysia akan lebih diterajui oleh pertumbuhan dalam sektor eksport yang berlandaskan strategi industrialisasi yang outward-looking. Sejauh mana ini akan mencapai hasil yang baik bergantung kepada keupayaan pekilang-pekilang di Malaysia mengekal, jika tidakpun meningkatkan lagi, daya saing di pasaran antarabansa yang penuh cabaran itu.
Dasar Kebudayaan Kebangsaan
Latar belakangKebudayaan merupakan keseluruhan cara hidup manusia. Ia berperanan penting dalam proses pembangunan negara di Malaysia di mana keperibadian Malaysia harus dipupuk dalam usaha-usaha yang dijalankan ke arah meningkatkan pembangunan sosioekonomi dan politik. Ini sudah tentunya memerlukan penggemblengan dan penglibatan semua lapisan masyarakat dalam satu proses yang berterusan.
Bagi sebuah negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum seperti di Malaysia, proses pembentukan kebudayaan nasional memerlukan perancangan yang teliti dan rapi supaya dapat melahirkan cara hidup yang bersifat kemalaysiaan. Perancangan kebudayaan ini harus menentukan sifat-sifat yang baik, mulia dan utama bagi pembinaan bangsa dan ketahanan negara.
Rasional
Penggubalan Dasar Kebudayaan Kebangsaan adalah penting bagi sesebuah negara membangun dan yang mempunyai penduduk berbilang kaum seperti Malaysia. Dasar ini nanti akan dapat menjadi Garis panduan dalam membentuk, mewujud dan mengekalkan identiti negara di kalangan dunia antarabangsa.
Penggubalan dasar ini perlu dibuat dengan mempertimbangkan fakta-fakta perkembangan sejarah serantau dan kedudukan negara ini sebagai pusat pertemuan serta pusat tamadun dan perdagangan sejak dua ribu tahun yang lampau. Peranannya sebagai sebuah pusat pertemuan, telah melahirkan proses interaksi, pengenalan, penyerapan dan penerimaan pelbagai unsur-unsur yang sesuai kepada kebudayaan asas rantau ini dari pelbagai unsur-unsur kebudayaan dunia.
Dengan yang demikian, sebagai satu proses yang berterusan, pewujudan Kebudayaan Kebangsaan Malaysia akan terus berlandaskan unsur-unsur dan tiga prinsip yang ditetapkan oleh Kerajaan sebagai Dasar Kebudayaan Kebangsaan iaitu:
i) Berteraskan kepada Kebudayaan Rakyat Asal Rantau ini
Rantau ini yang merangkumi kawasan Malaysia, Indonesia,Filipina, Singapura, Brunei, Thailand dan Kampuchea serta Kepulauan Selatan Pasifik (Polynesia, Melanesia dan Oceania) sehingga Malagasi adalah merupakan bahagian utama dari kawasan tamadun atau budaya Melayu. Rantau ini merupakan pusat pemancaran, pengembangan dan warisan Kebudayaan Melayu sejak zaman berzaman dan ditandai pula oleh kegemilangan dan keagungan tamadun Melayu yang berpusat di Melaka yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan antarabangsa (linguafranca). Kebudayaan serantau ini digambarkan oleh persamaan-persamaan di bidang bahasa yang berasaskan keluarga bahasa Melayu - Austronesia, kedudukan geografi, pengalaman sejarah, kekayaan alam, kesenian dan nilai-nilai keperibadiannya. Budaya Melayu pada hari ini merupakan cara hidup, lambang identiti dan asas ukuran keperibadian kepada lebih 200 juta umat manusia yang menuturkan satu rumpun bahasa yang sama. Dengan yang demikian, kebudayaan rakyat asal rantau ini dalam pengertian sempit atau luasnya kebudayaan Melayu telah dijadikan teras kepada Kebudayaan Kebangsaan.
(ii) Unsur-unsur Kebudayaan Lain Yang Sesuai dan Wajar Diterima
Kebudayaan sebagai sesuatu yang dinamik, sentiasa berubah-ubah melalui proses penyerapan dan penyesuaian secara berterusan. Prinsip ini bertepatan dengan situasi penduduk berbilang kaum yang mewarisi pelbagai budaya. Dengan itu unsur-unsur budaya Cina, India Arab, Barat dan lain-lain yang sesuai dan wajar diberi penimbangan dan penerimaan dalam pembentukan Kebudayaan Kebangsaan. Kesesuaian penerimaan dalam penyerapan ini adalah bergantung kepada tidak wujudnya percanggahan dengan Perlembagaan dan prinsip-prinsip Rukun Negara dan kepentlngan nasional serta asas-asas moral dan kerohanian sejagat pada amnya dan pada Islam sebagai agama rasmi negara khasnya.
(iii) Islam Menjadi Unsur Yang Penting Dalam Pembentukan Kebudayaan Kebangsaan
Agama atau kepercayaan kepada Tuhan merupakan unsur penting dalam proses pembangunan negara serta pembentukan rakyat yang berakhlak dan berperibadi mulia. Agama Islam memberi panduan kepada manusia dalam mengimbang dan memadukan usaha bagi mengisi kehendak-kehendak emosi dan fizikal dan kerana itu patut menjadi unsur yang penting dalam pembentukan Kebudayaan Kebangsaan memandangkan kedudukannya sebagai agama rasmi negara, di samping telah wujudnya fakta sejarah dan nilai-nilai Islam yang telah sedia didukung oleh sebahagian besar rakyat rantau ini.
Ketiga-tiga prinsip asas di atas adalah melambangkan penerimaan gagasan Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1971.
Objektif
Pembangunan Kebudayaan Kebangsaan bagi negara-negara yang baru merdeka amatlah penting untuk mewujudkan sebuah negara yang stabil dan bersatu padu. Dengan yang demikian usaha-usaha pembentukan Kebudayaan Kebangsaan Malaysia adalah bertujuan untuk mencapai tiga objektif penting iaitu:
(i) Mengukuhkan perpaduan bangsa dan negara melalui Kebudayaan;
(ii) Memupuk dan memelihara keperibadian kebangsaan yang tumbuh daripada Kebudayaan Kebangsaan; dan
(iii) Memperkayakan dan mempertingkatkan kualiti kehidupan kemanusiaan dan kerohanian yangseimbang dengan pembangunan sosioekonomi.
Strategi dan Pelaksanaan Objektif dasar ini boleh dicapai melalui strategi-strategi berikut:
(i) Pemulihan, pemeliharaan dan pembangunan kebudayaan ke arah menguatkan asas-asas Kebudayaan Kebangsaan melalui usaha sama penyelidikan, pembangunan, pendidikan, pengembangan dan perhubungan budaya;
(ii) Meningkat dan mengukuhkan kepimpinan budaya melalui usaha-usaha membimbing dan melatih peminat, mendukung dan mengerak kebudayaan seluas-luasnya sebagai jentera pembangunan yang berkesan;
(iii) Mewujudkan komunikasi yang berkesan ke arah kesedaran kebangsaan, kenegaraan dan nasionalisme Malaysia;
(iv) Memenuhi keperluan sosiobudaya; dan
(v) Meninggikan taraf dan mutu kesenian.
Di samping Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Warisan, penglibatan pihak lain juga adalah penting dalam pelaksanaan dasar ini. Mereka termasuklah Kementerian-kementerian dan Jabatan-jabatan Kerajaan Pusat, Kerajaan-kerajaan Negeri, badan-badan berkanun dan pihak swasta serta pertubuhan-pertubuhan kebudayaan.
Peranan Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Warisan dalam pelaksanaan matlamat dan strategi dasar ini adalah penting. Antara lain Kementerian ini menguruskan penyelidikan, pembangunan dan penggalakan, pendidikan dan pengembangan kesenian dan perhubungan ke arah kemajuan kebudayaan kebangsaan. Usaha-usaha itu dicapai melalui aktiviti-aktiviti pembangunan, persembahan seni oleh Kompleks Budaya Negara sebagai pengelola dan urus setia perhubungan kebudayaan antarabangsa, Majlis Kebudayaan Negeri, khidmat nasihat bagi mengukuhkan pertubuhan-pertubuhan kebudayaan dan kerjasama dengan badan-badan antarabangsa.
Peranan Kementerian/Jabatan, Kerajaan-kerajaan Negeri dan badan-badan berkanun yang lain adalah sama penting dalam melaksanakan strategi dasar ini di dalam pengurusan harian dan pelaksanaan dasar-dasar semasa. Peranan pihak swasta dan pertubuhan-pertubuhan kebudayaan kian diperlukan di mana badan-badan ini boleh memainkan peranan menjalankan usaha pembinaan dan kemajuan kebudayaan di peringkat organisasi masing-masing dan seterusnya membiayai penajaan program atau projek-projek kebudayaan.
Penutup
Penggubalan dan pelaksanaan Dasar Kebudayaan Kebangsaan adalah perlu bagi negara Malaysia yang sedang membangun dan yang mempunyai penduduk berbilang kaum yang mengamalkan budaya yang berbeza. Dasar ini dapat menjadi garis panduan dalam membentuk serta mewujudkan satu bangsa yang bersatu-padu serta mengekalkan identiti negara di kalangan dunia antarabangsa. Namun demikian pelaksanaannya adalah rumit dan tidak dapat dicapai dalam masa yang singkat. Kesedaran dan kefahaman yang luas akan dapat membantu tercapainya hasrat dan cita-cita pelaksanaan dasar ini kerana dengan keinsafan itu sahaja Kebudayaan Kebangsaan akan dapat dibezakan dengan kebudayaan kesukuan atau kebudayaan kaum. Kebudayaan yang dipupuk itu akan mencirikan sifat-sifat persamaan yang melampaui batas-batas suku kaum dan memperlihatkan keperibadian kebangsaan Malaysia itu sendiri sebagai sebuah negara yang merdeka dan bermaruah.